Thursday, September 10, 2015

‘Saya sudah bergelar pelakon’-Tun M (Video)


Petaling Jaya: "Babak saya pendek saja. Berlakon satu-satunya perkara saya tak buat selama ini. Di lokasi saya meletakkan diri sebagai pelakon jadi saya ikut saja arahan diberikan.
"Lagipun pembabitan saya itu adalah biasa. Walaupun masih ada rasa gementar, sekurang-kurangnya saya boleh katakan kepada masyarakat saya sudah bergelar pelakon," kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 90.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem Kapsul yang turut dibintanginya, di sini, malam tadi.
Hadir sama, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menurutnya, filem arahan dan skrip oleh Allahyarham Martias Ali ini berbeza dengan filem tempatan lain kerana ia bukan saja mengimbau sejarah dari zaman sebelum merdeka tetapi turut mengetengahkan unsur sains fiksyen.
"Saya ada bertanya kepada penerbit sama ada skrip filem ini diubah, tapi katanya tidak sama sekali biarpun ia sudah ditulis arwah Martias sejak 2009 lagi.
"Saya bangga dengan skrip dihasilkan kerana arwah boleh menjangkakan apa akan terjadi sama seperti saya selalu perkatakan. Saya juga nak tegaskan, filem ini tak berkait langsung dengan politik. Ia lebih kepada sejauh mana Wawasan 2020 boleh tercapai atau tidak," katanya yang berpuas hati dengan filem itu.
Dr Mahathir yang terbabit dalam lima babak dalam filem itu berkata, pembabitannya adalah pada saat akhir.
Katanya, beliau hanya sempat berlatih selama beberapa minit sebelum penggambaran.
"Ketika hari penggambaran baru saya diberikan skrip. Latihan pula beberapa minit saja. Secara keseluruhan ada dalam dua ke tiga kali perlu diulang," katanya.
Filem Kapsul yang diterbitkan Two Tones Sdn Bhd menampilkan pelakon seperti Faizal Hussein, Zamarul Hisyam, Elly Mazlein, Normah Damanhuri, Jue Aziz, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.
Ia bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 17 September ini.


Sumber :- http://www.hmetro.com.my/node/76632


0 comments:

Post a Comment